Secebis sejarah bedebah
Kejadian pagi itu masih segar dalam ingatan aku.
Di pagi aku melabuhkan punggung yang berbungkus kain hijau, di kerusi dengan penuh bangga. Setiap kali suatu perasaan penuh triumpan meresapi segenap urat pembuluh di badan aku.
Tahun itu aku telah berjaya mengukir kejayaan hatrik dalam mengekalkan kedudukan aku di dalam kelas. Terpersuk nun di ceruk sudut kanan, bersebelahan pintu keluar yang terbelakang. Tingkap di kanan bahu membawa masuk udara nyaman, lagi menyerlahkan kehijauan padang bola cabuk berlatarkan bukit dan langit. Sungguh tiada tempat yang lebih baik dari itu bagi sang pengelamun.
Sudut yang sama itu sekian lama memegang tradisi sebagai rezab tempat pembuangan sampah yang telah aku nyahkan ke sudut yang berseberangan. Suatu kedudukan yang rebelistik bagi penempatan tin minyak berjenama, hasil buatan pengusaha bukan bumiputera yang sinis falasafahnya; diatas kelayakannya sebagai sumber penjana ekonomi negara, sekadar dibikin tempat pembuangan bagi sekolah-sekolah dan kedai-kedai runcit.
Untuk kesekian kalinya, aku melantik diri memegang jawatan tetap, sebagai pencacai pengangkut sampah sepanjang tahun walaupun sepatutnya tugasan itu disilih ganti. Garapan minda berusia 15 tahun; bahawa ianya suatu pertukaran yang berpatutan atas penaklukan tersebut.
Ya, aku sudah pun berjaya mempraktikkan konsep pengdiktatoran pada usia sebegitu.
Pagi itu juga merupakan hari pertama matapelajaran sejarah bagi tahun itu - Sejarah Malaysia, Bab pertama – Sejarah kesultanan Melayu Melaka. Mendengar sahaja nama negeri yang tersohor itu, berderau darah disegenap pelusuk badan aku yang berkad pengenalan biru.
Masakan tidak, suatu masa dahulu bangsa aku pernah mempunyai empayar hebat. Selat pemilikannya merupakan pusat laluan dagang yang terutama di persada antarabangsa. Wujud suatu ketika dimana bangsa Portugis, Belanda, Sepanyol, Indonesia, Jawa, Cina diantaranya, dimana mereka yang bersendal lidah untuk belajar bahasa melayu in order to be able to trade with us. Woops, maaf, sebenarnya aku enggan berbunyi bodoh di penghujung kata yang akhir itu.
Aku direntap dari lamunan setelah pelbagai variasi bunyian kayu menghentam permukaan simen; yang juga aku pasti bukan buatan bumiputera, di mana sekali lagi falasafah sinis itu menerjah ke tingkap minda, persis sang penyibuk badan, atas kelayakannya untuk berada di bawah telapak kasut bata yang merupakan hasil jenama saudara sebangsanya. Berkumandang ucapan selamat pagi yang berharmoni dari seisi kelas.
Sebatang tubuh itu, hasil pengamatan aku, dari belakang kaca yang membingkaikan kedua mata, kelihatan seperti hasil tinggalan sejarah. Sekurangnya berusia hampir keseparuh abad, berbaju kemeja putih, berkolar lengan berlipat hingga ke pangkal siku. Singlet yang sedondon warnanya tampak di bawahnya, dipadankan pula dengan seluar hitam bercorakkan petak-petak kecil; fesyen 40'an tentunya. Rambutnya yang ikal berminyak itu berkilau di bawah sinaran lampu ciptaan sibedebah Edison.
Dia membalas ucapan dan memberikan isyarat untuk semua duduk. Setelah meletakkan bukunya di atas meja sebelum jemarinya mengambil kapur, kami diarah membuka buku teks milik kerajaan yang merupakan hasil cukai dirinya serta ibu-bapa kami masing-masing, ke laman bab yang pertama. Arahan itu seolah beritma rentak jenaka dalam fikiran - tentunya pengalaman pernah mengajarnya agar tidak saja mengatakan muka surat pertama, kerana di laman itu adalah daftar buku dan perikata.
Sebaik sahaja aku tiba di muka surat tersebut, terserlah tajuk yang berbunyi: Latar belakang ringkas asal-usul Sultan Melayu Melaka yang pertama. Rakus mata aku membaca baris yang seterusnya.
"Sultan Melayu Melaka yang pertama dikatakan berasal dari keturunan Maharaja Merong Mahawangsa, seorang anak raja yang turun dari kayangan.
Aku terbungkam di kerusi. Apa?! Sejarah seorang Sultan melayu yang pertama, pengasas empayar Melayu yang terhebat bermula dari kisah dongeng? Kepala hotak!
Aku mula rasa rimas. Aku angkat penglihatan ke hadapan, tampak bahagian belakang penghuni kelas yang lain, kasihan mereka. Tak boleh jadi, aku kena selamatkan mereka dari kemerapuan ini.
Bingkas aku bangun, pantas menutup buku tersebut lantas aku campakkan ke dalam tong minyak berjenama bukan buatan bumiputera itu, tak mengapa, aku yang akan memungut sampah itu pada keesokkannya. Jari aku meraba pisau di laci meja, akhirnya aku bertindak dan I killed everyone in the classroom. Maaf, aku masih enggan berbunyi bodoh di ayat yang akhir itu.
Tamat.
